Video cara bermain gasing serta asal usulnya

Video cara bermain permainan gasing

Cara bermain gasing
Kali ini saya ingin kongsikan satu video tentang permainan yang kini sudah jarang dimainkan oleh masyarakat kita.Mungkin anda penah bermain gasing,tapi golongan muda pada masa ini mungkin sudah tidak kenal akan dengan permainan gasing ini.Sebelum kita pergi kepada video cara bermain gasing ini,izinkan dahulu saya ceritakan asal usul permainan gasing ini.

Asal usul permainan gasing


gasing
Permainan gasing asalnya daripada permainan memusing buah berembang.Buah berembang ini berbentuk bulat, licin dan agak leper.Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini selalu digunakan oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan.Di sesetengah tempat,buah berembang juga dikenali sebagai buah perepat (sonneratia alba).Buah berembang ini juga dijadikan sebagai permainan. 



Didalam permainan buah berembang,buah ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan.Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat akan dikira paling gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang.Perkataan gasing berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘gah berpusing’.




Gah dalam istilah permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak.


Asal usul permainan gasing versi kedah

Di kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing berasal daripada permainan ‘laga telur ayam’.Permainan memusing dan melagakan telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa dahulu. Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut rupa bentuk telur.Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan tegak. Gasing yang diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan pusingannya tidak tahan lama. Oleh itu tali digunakan supaya dapat memusingkan gasing dengan lebih ligat dan lama.

Permainan gasing sebenarnya adalah satu permainan yang popular di Semenanjung malaysia pada satu ketika dahulu.Ianya bukan sahaja boleh dimainkan oleh kanak-kanak malahan orang dewasa juga gemar bermain gasing.Jenis gasing yang terdapat di malaysia ialah:


  1. gasing jantung
  2. gasing piring atau leper 
  3. gasing kelamar 
  4. gasing telur 
  5. gasing berembang 
  6. gasing Melayu 
  7. gasing Cina
  8. gasing buku benang
  9. gasing pinang

Membuat Gasing


Untuk membuat gasing,kayu sesuai perlu dipilih dan kayu yang paling sesuai adalah dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing.

Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.

Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.

Cara bermain permainan gasing


permainan gasing tradisional

Gasing dimainkan dua cara, sama ada sebagai gasing uri ataupun gasing pangkah. Gasing uri biasanya dimainkan untuk melihat dan menguji ketahanan gasing berpusing. Pemenang akan diadili berdasarkan jangka masa gasing dapat berpusing. Gasing yang mampu berpusing lama dikira sebagai pemenang pertandingan. Biasanya gasing mampu berpusing lebih daripada satu jam.

Gasing pangkah pula dimainkan untuk mengetuk gasing pihak lawan dan dimainkan oleh dua buah kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada dua hingga lima orang. Sebelum permainan dimulakan, mereka akan beradu kekuatan dahulu. Pertandingan uri akan dibuat untuk memilih kumpulan memangkah dan kumpulan menanti. Gasing kumpulan yang berpusing lebih lama akan menjadi kumpulan memangkah manakala kumpulan yang kedua akan menjadi kumpulan menanti.

Kumpulan memangkah akan memangkah gasing kumpulan menanti. Tujuannya adalah untuk memecahkan gasing pihak lawan atau paling tidak, dapat menghentikan gasing pihak lawan. Tetapi jika gasing kumpulan menanti masih berpusing, jong cokok akan digunakan. Jong cokok diperbuat daripada kayu dan agak leper. Gasing yang masih berpusing akan dicokok ke permukaan jong dan jika gasing pihak menanti lebih lama berpusing, kumpulan memangkah akan bertukar menjadi kumpulan menanti dan begitulah sebaliknya.

Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak.Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.

Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.

Video cara bermain permainan gasing



Anda suka tak dengan pos ini?
0 komen untuk "Video cara bermain gasing serta asal usulnya"

Sila komen dengan berhemah dan jangan lupa untuk berkongsi pendapat anda di ruang komen.